Wednesday 18 July 2012

Kursus Asas 'Natural Farming'

Kursus Asas 'Natural Farming' akan diadakan pada ketetapan berikut :

    Tarikh    : 19 Julai 2012
    Tempat  : Pej. Pertanian Daerah Hulu Langat
                   (Pusat Flora Cheras)
    Masa     : 9.00 pagi

Semua petani Daerah Hulu Langat dijemput hadir dan boleh berhubung dengan En Syazwan di talian 03-87331217 untuk pengesahan tempat. Penyertaan adalah percuma dan terhad.

Thursday 12 July 2012

Program Sehari Jabatan

Program Sehari Jabatan Pertanian Bersama Penduduk Kg. Jawa, Hulu Langat dan Penghakiman KPW Kg Jawa peringkat kebangsaan.

Pihak Jabatan Pertanian Daerah Hulu Langat menjemput orang ramai menghadiri program berkenaan seperti ketetapan berikut :

          Tarikh    : 13 Julai 2012
          Tempat  : Balairaya Kg Jawa, Batu 18, Hulu Langat
          Masa     : 9.00 pagi - 4.00 petang

Aktiviti yang dijalankan seperti pameran, jualan dan pertandingan gubahan bunga dan buah-buahan.
Semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program ini.

Thursday 5 July 2012

Penyakit Moko Pisang

PENYAKIT MOKO PISANG


Penyakit Moko disebabkan oleh bakteria Ralstonia solanacearum. Bakteria ini merupakan gram negatif, aerobik, tidak berspora dan dibawa oleh tanah. Ia menyerang tanaman dengan membuat koloni di dalam xilem dan mengakibatkan simptom layu bakteria.

Gambar 1 : Rupa mikrograf bakteria R. solanacearum
(kredit: http://iant.toulouse.inra.fr/bacteria/annotation/cgi/ralso.cgi) 

Bakteria ini menyerang beberapa jenis tanaman termasuk tomato, pisang, ubi kentang, terung dan tembakau. R. solanacearum biasanya memasuki tumbuhan melalui luka. Luka semula jadi (oleh pemotongan bunga, genesis akar sisi) dan unsur luaran (amalan pertanian atau serangan perosak seperti nematod) akan menjadi tapak kemasukan bagi R. solanacearum. Tidak seperti kebanyakan bakteria phytopathogenic, R. solanacearum berpotensi untuk mengakibatkan jangkitan sistemik yang membawa kepada layu bakteria dengan hanya memerlukan satu tapak kemasukan sahaja. 

Kelayuan berlaku pada tahap populasi bateria yang tinggi dalam xilem dan sebahagiannya disebabkan oleh kehilangan fungsi vaskular di mana air tidak boleh sampai kepada daun secukupnya. Pada masa ini, kandungan polisakarida luar sel (EPS1) adalah kira-kira 10 μg/g tisu dalam akar rambut, hypocotyl dan teras tengah; kepekatan EPS1 kemudian menjadi lebih tinggi daripada 100 μg /g dalam tisu tumbuhan yang menunjukkan simptom layu bakteria. Toksin sistemik Ralstonia juga menyebabkan kehilangan kawalan stoma tetapi tidak ada bukti untuk transpirasi berlebihan. Faktor utama yang menyebabkan kerosakan ialah kepadatan bakteria yang tinggi dalam xilem akan mengakibatkan degredasi dinding sel. Selain itu, mekanisma kawalan oleh tumbuhan itu sendiri; menghasilkan getah dan tylose bagi menyekat pergerakan bakteria dalam xilem juga menyebabkan air tidak dapat disalurkan kepada daun dan mengakibatkan kelayuan. 



Gambar 2 : Pengasingan secara langsung R. solanacearum boleh didapati daripada lendir (ooze) yang terhasil.

Bakteria ini boleh membiak dan berada dalam keadaan dorman di dalam tanah untuk beberapa tahun. Ia juga boleh hidup di dalam air selama 40 tahun pada suhu 20–25 °C. 


Penyakit Moko

Mengapa serangan bakteria ini pada pisang dinamakan sebagai penyakit Moko? Penyakit ini mula dikesan pada tahun 1890 di Trinidad yang menyerang pisang Moko. Pisang Moko merupakan salah satu makanan penduduk Trinidad, dan penyakit ini mendapat namanya. Serangan ini melumpuhkan ladang dan kebun pisang di negara tersebut sehinggalah pada 1940-50 tanaman pisang Moko diusahakan semula. 

Simptom serangan berbeza bergantung kepada strain bakteria penyebab jangkitan, mod penghantaran patogen oleh vektor, umur tanaman perumah dan reaksi kepada tanaman perumah itu sendiri. Jangkitan kultivar pisang pencuci mulut biasanya berlaku melalui akar atau rizom. Tanda-tanda awal penyakit ialah menguning dan daun tertua mula layu, yang akhirnya menjadi nekrotik. Simptom merebak ke daun muda, yang menyebabkan warna menjadi hijau pucat atau keputihan sebelum menjadi nekrotik. Penyakit ini boleh menyebabkan sulur layu dan mati. Perkembangan buah-buahan terbantut dan akhirnya pecah menyebabkan dalaman buah bertukar warna dan akhirnya reput. Tisu vaskular pada batang pisang berubah warna dan muncul ooze bakteria jika diuji dengan merendam vaskular yang dijangkiti ke dalam air bersih. 

Gambar 3: Jangkitan pada buah yang belum matang. Buah menjadi rosak akibat pecah dan mereput.

Gambar 4: Xilem berubah warna. Jangkitan Moko menyebabkan tisu vaskular menjadi perang dan akhirnya hitam.

Serangan penyakit Moko mula dikesan di Daerah Klang pada bulan Mei 2009. Banyak kebun pisang terjejas akibat serangan ini. Pada bulan Januari 2012, serangan ini menular di Daerah Sabak Bernam. Gambar-gambar serangan penyakit Moko yang berlaku di Tebuk Jawa, Sabak Bernam;







Kawalan 

Tiada racun yang boleh mengawal penyakit ini. Satu-satunya cara berkesan ialah pembasmian tumbuhan yang dijangkiti. Jika penyakit Moko menyerang ladang komersial kerugian akan disebabkan oleh kehilangan hasil dan kos bagi langkah-langkah pencegahan yang dikehendaki untuk mengawal penyebaran penyakit ini. Pencegahan melibatkan penyingkiran tanaman daripada dijangkiti dan menggunakan alat dan jentera yang dinyahkuman bagi mengurangkan risiko penyebaran. Petani digalakkan membuat kitaran tanaman dan tanaman pisang hendaklah dielakkan untuk beberapa tahun. 


kredit to :http://hijausawah.blogspot.com